Majlis Penyerahan Sumbangan Projek "Creating Income Opportunities" (C.I.N.T.A) UKM-GSB Kepada Penjara Wanita Kajang

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN PROJEK “CREATING INCOME OPPORTUNITIES” (C.I.N.T.A) UKM-GSB KEPADA PENJARA WANITA KAJANG

Majlis Penyerahan Sumbangan Projek “Creating Income Opportunities” (C.I.N.T.A) UKM-GSB kepada Penjara Wanita Kajang yang dianjurkan oleh sekumpulan pelajar Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia telah berjaya menarik minat sekurang-kurangnya sembilan (9) syarikat tampil menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program Corporate Social Responsibilities (CSR) tersebut.

Memilih Penjara Wanita Kajang sebagai lokasi program, Pengarah Projek CINTA UKM-GSB, Puan Dhiya Syazana Safra menjelaskan antara objektif utama penganjuran Projek CINTA UKM-GSB adalah untuk membantu Penjara Wanita Kajang menambahbaik fasiliti serta peralatan program kemahiran untuk banduan dalam penjara tersebut. Dengan penggantian dan penambahan peralatan baharu hasil sumbangan projek ini, jumlah pengeluaran produk dijangka dapat ditingkatkan sekaligus menjana peningkatan hasil jualan. Program CSR ini merupakan kolaborasi pertama dan julung kalinya diadakan antara Penjara Wanita Kajang bersama kumpulan pelajar universiti melibatkan pemberian sumbangan berupa peralatan dan kelengkapan lain (aset).

Menurut beliau lagi, keputusan untuk memberi fokus penambahbaikan dan penggantian peralatan program kemahiran pembuatan kek, biskut dan produk makanan sejuk beku (frozen-food) diambil selepas beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak diadakan bersama pihak penjara tersebut.

Kolaborasi bersama Jabatan Penjara Malaysia ini dilihat sebagai peluang ke arah kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang. Dr. Mara Ridhuan Che Abdul Rahman, Timbalan Dekan (Akademik) UKM-GSB menjelaskan kejayaan pelaksanaan projek CSR ini menjadi salah satu elemen indikator tahap kompetensi pelajar dalam bidang pengurusan mencakupi segala aspek antaranya daya kepimpinan,pengurusan masa, pengurusan sumber, pengurusan kewangan, pengurusan projek dan lain-lain. Dalam masa yang sama, para pelajar juga dapat membina jaringan kerjasama (networking) dengan pelbagai pihak selain memberi pendedahan melalui pembelajaran tidak formal.

Sementara itu PKK Zalina Mohd Yunus, Pengarah Penjara Wanita Kajang memberitahu dalam ucapan beliau bahawa dengan kolaborasi antara Penjara Wanita Kajang dan UKM-GSB ini dilihat mampu memberi manfaat kepada penghuni-penghuni penjara dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk mengembangkan latihan kemahiran bagi memenuhi standard Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kebangsaan.

Tambah beliau selanjutnya, jalinan kerjasama yang erat melalui gabungan semua entiti penting ini dilihat menjadi prasyarat untuk menggapai misi nasional. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesejahteraan penghuni penjara dalam merealisasikan konsep Penjara Sejahtera.

“Kita tidak boleh menafikan fakta bahawa mereka juga adalah sebahagian daripada kita. Penghuni penjara wajar mendapat peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan lampau dan meneruskan kehidupan. Mereka yang benar-benar sudah insaf dan ingin berubah cukup ramai dan dengan latihan serta kemahiran yang diperoleh sudah tiba masanya golongan yang kurang bernasib baik ini diterima sebagai aset dan kekuatan baharu negara.”ujar beliau.

Kutipan sumbangan berjumlah RM52,286.22 telah berjaya dikumpul bagi pelaksanaan Projek CINTA UKM-GSB ini. Dalam majlis yang sama, penaja utama Projek CINTA UKM-GSB iaitu Dato’ Royfaizal Razali Chong, Pengarah Urusan Syarikat Royan Trading Sdn. Bhd. turut menyampaikan mock cheque berjumlah RM20,751.00 kepada pihak UKM-GSB, disusuli wakil syarikat Malakoff Corporation Berhad (RM 10,000.00), Pembinaan Tetap Teguh Sdn. Bhd. (RM 5,000.00) dan Al- Isra’ Group dengan nilai sumbangan RM 4,000.00. Wakil-wakil syarikat penaja dan penyumbang lain juga turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Kyut Skin (Wisma Nini Comei), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), SJ Rich Enterprise, Nik Ikhwan & Co. dan The Dutchess Kitchen.

Dato’ Royfaizal menzahirkan rasa gembira dan berbesar hati kerana dapat sama menyumbang dalam program ini. Pengarah Urusan Royan Trading Sdn. Bhd. ini juga turut memberitahu, bentuk sumbangan kepada pihak penjara merupakan sebab utama beliau berminat untuk menghulurkan sumbangan. Dengan pembelian mesin dan peralatan program kemahiran, banduan wanita terlibat boleh menggunakan peralatan tersebut untuk meningkatkan kemahiran mereka, sekaligus dapat membantu mereka meneruskan kehidupan selepas tamat tempoh hukuman kelak.

Beliau menambah “Jika anda memberi ikan kepada seseorang, maka anda telah memberi makanan kepadanya untuk sehari. Tetapi, jika anda menyediakan kelengkapan dan mengajar orang itu memancing, maka anda telah memberi makanan kepadanya untuk seumur hidup. Semoga usaha kecil saya ini dapat memberi manfaat kepada semua, InsyaAllah.”

“Semua sumbangan yang diterima akan disalur dan digunakan untuk penambahbaikan fasiliti program dan kemudahan lain dalam Penjara Wanita Kajang. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada penaja utama, syarikat Royan Trading Sdn. Bhd., rakan-rakan penaja, syarikat-syarikat dan individu yang turut sama menyumbang kepada kejayaan Projek CINTA UKM-GSB. Bertepatan dengan akronim nama projek kami iaitu ‘CINTA’, kami bersyukur kerana objektif projek kami telah tercapai dan dibuktikan dengan mekarnya ‘cinta’ insan-insan prihatin yang hadir menyumbang ‘cinta’ walau tidak mengenal siapa,” ujar Puan Dhiya Syazana mengakhiri ucapan beliau.

16 Februari 2023
Penjara Wanita Kajang, Selangor

Sumber artikel: https://www.buletinfm.audio/majlis-penyerahan-sumbangan-projek-creating-income-oppurtunities-c-i-n-t-a-ukm-gsb-kepada-penjara-wanita-kajang/

Baca juga: Sumbangan Untuk Menjana Kemahiran Banduan Wanita

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *